Search This Blog

Monday, March 14, 2011

Aisy.... putera kesayangan mummy n daddy

sewaktu dilahirkan dengan berat 2.94 kg
Kepulangan daddy selepas seminggu bekerja... sayang nak tinggalkan aisy
usia aisy 2 minggu, kecil je... berat tak tambah pun
pertama kali jumpa mama ngan yayah ngah.
aisy 2 bulan... lepas mummy habis pantang
jalan-jalan
4 bulan dah meniarap
aisy 5 bulan
lena tidur lepas penat naik motor berjalan ke  taman dengan daddy.
HBME2203         Adat dan Budaya Masyarakat di Negara Malaysia.






Pengenalan

Masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, adat dan budaya. Melalui slogan “satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato` Seri Mohd Najib b Tun Abdul Razak, pelbagai kaum dan budaya ini dapat disatupadukan dan wujudnya perpaduan yang kuat di kalangan semua warga Negara ini.

Wujudnya masyarakat majmuk dapat memberikan gambaran menyeluruh mengenai rakyat Malaysia di atas keprihatinan dan bertimbang rasa pada semua kaum. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-empat, masyarakat majmuk membawa maksud masyarakat yang terdiri daripada beberapa kaum ( suku bangsa ) atau bangsa. Manakala menurut pendapat Furnivall, masyarakat majmuk muncul akibat daripada dasar-dasar penjajah yang mengalakan penghijrahan penduduk mengikut keperluan ekonomi mereka. Oleh itu, wujud kelompok pelbagai ragam dalam satu unit politik di mana mereka bergantung antara satu kaum dengan kaum lain tetapi amat berpegang kuat kepada agama, bahasa, budaya, idea-idea dan cara hidup tersendiri.

Oleh yang demikian, walaupun masih mengamalkan cara hidup tersendiri, sedikit sebanyak unsur adat dan budaya masyarakat luar mempengaruhi corak hidup rakyat Malaysia. Jika di lihat secara kasar, adat budaya Nyonya yang sinonim dengan cara hidup orang Melayu tetapi masih berpegang kuat kepada agama asal kaum Cina iaitu Buddha dan begitu juga adat bersanding bagi pengantin Melayu yang dikatakan mengikut cara persandingan orang India. Mereka mengenakan pakaian tradisional melayu dan juga menghormati adat dan budaya masyarakat di sini.

Sebagai contohnya, pekerja kolar putih akan memakai pakaian tradisional melayu pada hari Jumaat kerana menghormati hari yang paling mulia di kalangan semua hari. Begitu juga dengan sambutan perayaan bagi semua kaum. Setiap perayaan di sambut meriah dan amalan kunjung-mengunjungi diamalkan oleh semua kaum. Pihak kerajaan juga sentiasa mengambil berat tentang perpaduan dan keamanan yang berkekalan di Negara kita. Sambutan “rumah terbuka” yang diadakan pada setiap perayaan membuktikan bahawa setiap warga di Negara ini masih menghormati adat dan budaya serta adab resam sesama sendiri.

Adat dan Budaya Masyarakat di Negara Malaysia.

Penulis memilih adat perkahwinan dan kelahiran sebagai topik yang akan dibincangkan. Kedua-dua adat ini amat mempengaruhi corak kehidupan di dalam kesemua kaum di Negara ini. Adat meminang, bertunang hinggalah ke hari perkahwinan dapat dilihat kesamaannya. Masyarakat majmuk Negara ini juga akan sama-sama menyambut dan menghadiri majlis yang penuh kebahagiaan ini.

Kehadiran masyarakat India pada awal tahun 1900 an untuk mencari mata pencarian yang lebih baik berbanding negara mereka sendiri. Kehadiran mereka yang terlalu ramai dan memenuhi kawasan kampung dan estet untuk menoreh getah sedikit sebanyak mempengaruhi cara hidup sebilangan besar masyarakat Melayu terutamanya. Adat bersanding dalam perkahwinan pengantin Melayu dan adat menyambut kelahiran bayi merupakan adat yang paling banyak diikuti oleh masyarakat ini.

Sebagai contohnya, sewaktu bersanding, pengantin perempuan akan memakai inai di jari. Begitu juga dengan pengantin lelaki yang mengenakan inai di tiga jari sahaja. Jika masyarakan India mengenakan inai dengan mengukir gambar pada tangan si pengantin, masyarakat kita juga sudah melakukkan. Jika diteliti denga lebih dekat, cara memakai inai juga tidak terbatas pada pengantin sahaja, tetapi telah dipakai oleh semua golongan tidak kira masa. Lebih – lebih lagi, khidmat mengukir inai di jari ini sentiasa tersedia terutama di sekitar pusat bandar yang menjadi tumpuan ramai.

Bagitu juga dengan adat bersanding. Jika diikutkan, masyarakat Melayu keseluruhannya adalah beragma Islam. Adat bersanding memang tiada dinyatakan, tetapi oleh kerana adat yang di bawa oleh kaum India, adat ini sudah menjadi kewajipan bagi setiap pengantin di Malaysia. Adat ini adalah untuk memperkenalkan dan memperlihatkan pasangan pengantin kepada kaum keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Manakala bagi masyarakat Cina, kehadiran mereka yang kebanyakkan menjadi buruh mengorek bijih timah. Kehadiran masyarakat Cina banyak membantu pembangunan ekonomi negara kerana pada masa itu negara Malaysia adalah pengeluar utama bijih timah di dunia. Peranan masyarakat Cina itu sedikit sebanyak mempengaruhi cara hidup masyarakat Melayu dan India.

Di Melaka misalnya, hampir 10% daripada penduduknya berbangsa Cina Nyonya. Golongan ini walaupun segelintir tetapi membuktikan bahawa sedikit sebanyak adat dan budaya Melayu mempengaruhi cara hidup mereka. Baik dari segi pakaian mahupun makanan. Makanan yang pelbagai selera dan citarasa itu membuktikan bahawa banyak perkara yang telah dipengaruhi oleh cara hidup semua masyarakat di Malaysia. Terdapat juga masyarakat majmuk ini telah berkahwin sesama sendiri tanpa mengira kaum dan adat. Lazimnya, apabila kaum Cina berkahwin dengan kaum lain seperti kaum Melayu dan India, adat dan budaya sesama kaum boleh dikongsi bersama.

Tidak terbatas dengan adat dalam perkahwinan, tetapi juga dalam adat kelahiran. Bermula dengan semasa ibu mengandung, melahirkan sehinggalah selepas kelahiran. Semasa mengandung, adat mandi sintuk limau atau air buyung. Adat ini dilakukan untuk memudahkan para ibu untu bersalin. Jika adat India, adat memandikan ibu yang mengandung di panggil “Valaikaappu”.

Manakala bagi kaum Cina, mereka lebih menekankan kepada tingkah laku wanita yang mengandung itu. Mereka tidak dibenarkan membuat kerja memaku kerana khuatir bayi di dalam kandungan mengalami kecatatan. Begitu juga mereka tidak dibenarkan mengeluarkan kata-kata kesat mahupun memukul binatang bagi menghindari dari terkena badi.

Kesamaan adat dan budaya

Kesamaan adat dan budaya di antara ketiga – tiga kaum dapat dilihat dengan jelas dalam cara hidup rakyat Malaysia kini. Penulis akan membincangkan kesamaan adat dan budaya dengan lebih mendalam dan boleh dikongsi bersama.

Adat perkahwinan misalnya, ketiga-tiga kaum akan menekankan adat meminang ataupun melamar pada pihak perempuan. Jika masyarakat India menekankan bahawa pihak perempuan yang akan meminang lelaki, tetapi ada juga segelintir mereka yang menekankan supaya pihak lelaki yang perlu melakukan lamaran.

Manakala, masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

Selepas lamaran diterima, adat bertunang juga dijalankan. Sesi menyarung cincin oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan adalah kesamaan yang dapat dilihat. Tetapi, bagi adat Melayu, pihak lelaki yang bertunang akan disarungkan cincin oleh pihak wanita yang lebih tua di dalam keluarga seperti ibu pengantin lelaki ataupun saudara mara terdekat.

Sewaktu majlis perkahwinan pula, selalunya majlis lebih meriah di pihak perempuan. Bagi masyarakat Melayu, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh. Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.

Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.

Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.





Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan.

Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.

Bagi masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki.

Bagi masyarakat India, perkahwinan dipanggil Thirumanan yang bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.

Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.

Terdapat majlis bersanding, meminta restu orang tua dan memotong kek. Semua adat ini mempunyai kesamaan bagi ketiga-tiga budaya. Kaum Melayu akan mencium tangan kedua ibubapa pasangan pengantin dan ibu bapa akan menepung tawar tanda member restu. Bagi adat Cina pula, upacara meminum the dikatakan sebagai adat meminta restu dan disertakan pemberian ang pau. Bagi kaum India, pasangan mempelai pengantin akan menunduk dan menyentuh kaki kedua ibubapa pengantin dan golongan tua, manakala golongan tua akan menyentuh kepala tanda memberi restu.

Adat pengantin selepas selesai majlis akan bertandang ke rumah lelaki pula. Lazimnya menantu perempuan akan tinggal bersama keluarga lelaki, tetapi adat itu sudah tidak dipraktikan lagi kerana pasangan pengantin baru lebih cenderung untuk tinggal berasingan dan membina kerjaya di tempat yang jauh daripada ahli keluarga.



Setiap kelahiran akan disambut dengan gembira oleh kedua ibu bapa dan seluruh ahli kelurga. Terdapat juga beberapa adat dan pantang larang yang perlu dilakukan. Selalunya adat ini dilaksanakan oleh kaum bapa kepada bayi memandangkan ibu masih lemah kerana kepenatan kehilangan tenaga dan darah yang banyak sewaktu melahirkan bayi.

Berikut dinyatakan beberapa persamaan yang terdapat dalam adat kelahiran bayi bagi kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia. Jadual di bawah menerangkan secara ringkas tentang adat dan budaya secara ringkas.

Adat Melayu

Melenggang perut,

Azan/Qamat

Membelah mulut,

Berpantang,

Mandi selepas bersalin

Memberi nama,

Mencukur jambul,

Naik buai,

Jejak tanah dan,

Bersunat
Adat Cina
Melihat kandungan,

Berpantang

Kenduri sebulan

Mencukur rambut

Memberi nama

Adat India
Valaikaappu ( memakai gelang emas )

Aalati ( menyambut bayi pulang ke rumah )

Membisikkan Nama Tuhan

Mandi selepas bersalin

Mendodoi bayi

Memberi nama



Jadual 1

Berdasarkan jadual 1 di atas, dapat dilihat beberapa persamaan adat antara ketiga-tiga adat. Dalam adat untuk mengazan dan mengqamat bayi, masyarakat Melayu akan dimandikan dan sudah dicuci bersih dan dimandikan, para bapa akan mengazankan azan ditelinga kanan bayi dan iqamah ( qamat ) di telingan sebelah kiri. Ianya adalah adat yang berunsurkan keagamaan bagi penganut agama Islam.

Bagi penganut India yang berbangsa Hindu, upacara membisikkan nama tuhan ini dilakukan oleh mereka yang berpengatahuan tinggi seperti sami. Mereka akan membacakan mantera Gayatri Mantiram sebelum tali pusat di potong. Tetapi bisikan itu dilakukan sejurus selepas bayi dilahirkan tetapi sudah tidak dapat dilakukan kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik bersalin. Ia bertujuan untuk membawa rahmat kepada bayi tersebut.Bagi kaum Cina pula, tiada amalan sewaktu kelahiran bayi seperti yang dilakukan oleh agama Islam dan Hindu.

Bagi adat memotong tali pusat dan menanam uri, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan di potong sejurus selepas kelahiran bayi. Kedua-dua adat akan menanam tali pusat, uri dan tembuni selapas dibasuh, dibungkus dan tidak berbau. Lazimnya ianya di tanam di sekitar kawasan rumah.Bagi adat Melayu, mereka lazimnya meletakkan bensa-benda tajam sebagai pelindung dari diusik atau dicerobohi olah binatang liar taupun benda halus. Tetapi pada zaman yang semakin berubah ini, kebanyakkan ibapa meletakkan alatan yang dicitakan untuk anak apabila dewasa kelak. Ada yang letak buku, pensil, dan sebagainya.

Bagi kaum India pula, uri, tali pusat dan tembuni akan di tanam di sekitar kawasan rumah dan diletakkan duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Ia juga bertujuan supaya tidak diganggu binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir. Bagi kaum Cina pula, tiada amalan sewaktu kelahiran bayi seperti yang dilakukan oleh agama Islam dan Hindu.

Bagi adat memaniskan mulut, upacara menyapu madu atau membelah mulut, adat ini terdapat di dalam ajaran agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti oleh surah Al-Ikhlas sebelum mencecahkan madu ke bibir bayi yang baru lahir. Ada juga yang menggunakan kurma ataupun emas yang dicelupkan ke dalam air pinang, diikuti bacaan mentera tetapi adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat sekarang.

Bagi masyarakat India pula, madu yang disapu minyak sapi akan di sapu pada lidah bayi. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, menyak tenga dan mambu juga digunakan. Ianya adalah untuk memberikan kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur. Susu ibu yang dicampur dengan sedikit minyak bijan yang disapukan ke mulut bayi dikatakan dapat menjadi pelawas dalam system penghadaman bayi dan boleh membantu pembesarannya.

Bagi masyarakat Cina, upacara ini tidak dilakukan tetapi ada juga adat memberi nama selepas genap sebulan. Kenduri juga dilakukan dengan sejenis kuih khas yang berbentuk bulat dan berwarna merah dan kuning berintikan kacang dan tau su serta telu yang diwarnai merah dan kemudiannya diberikan kepada saudara mara yang terdekat.

Upacara memberikan nama juga dijalankan oleh ketiga-tiga adat dan kaum. Menurut ajaran Islam, adalah sunat memberikan nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaanya, jika bayi lelaki akan diberikan nama nabi manakala bayi perempuan, nama isteri atau anak-anak perempuan nabi akan dipilih. Bagi kaum Cina, nama yang dipilih harus mengambil kira 5 unsur iaitu makna iaitu maksud yang baik dan kaya, dan, unsur Yin dan Yang, mempunyai unsur emas,air,api,tanah dan kayu, dan mengikut perhitungan matematik Cina serta disusun secara seimbang untuk mengelakkan kecelakaan. BAgi masyarakat India pula, nama akan diberikan pada hari ke enam belas dan dikendalikan di dalam buaian oleh orang yang tertua serta arif tentang agama mereka.

Beberapa adat dan budaya ini dapat memberikan penjelasan yang penuh kepada semua pihak. Ianya amat berguna di dalam masyarakat majmuk yang terdapat di dalam negara kita. Adat ini dapat menambahkan rasa sayang dan semangat cintakan negara di kalangan murid sekolah.


Kesimpulan

Perpaduan yang diterapkan dalam diri semua rakyat Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi corak kehidupan bagi semua rakyatnya. Kehidupan seharian sedikit sebanyak mempengaruhi. Sebagai contohnya setiap murid di sekolah di ajar oleh semua guru tak kira bangsa, agama mahupun warna kulit. Tetapi guru akan memberikan ilmu secara adil dan saksama kepada semua muridnya.

Guru bertanggungjawab dalam memastikan perkara ini diambil berat oleh semua pihak. Guru boleh meminta murid menyediakan maklumat bebentuk buku skrap tentang adat dan budaya yang terdapat di Malaysia dan bukannya adat budaya sendiri. Maklumat yang diperolehi sedikit sebanyak membantuk murid untuk memahami cara hidup budaya asing dengan lebih mendalam.

Selain itu, setiap aktiviti yang dilaksanakan perlu memastikan murid daripada ketiga kaum untuk menganbil bahagian dan mengamalkan cara pengaulan yang sihat. Sikap adil yang diterapkan dan penglibatan semua kaum di dalam setiap acara mahupun upacara, dapat membentuk peribadi yang baik dalam diri semua murid. Apabila menginjak usia dewasa, segala amalan dan nasihat yang diberikan oleh guru akan digunakan sebagai bekalan dalam menempuhi dan membina cara hidup yang jauh lebih baik.